Luqman mohon maaf gagal sempurnakan penalti

Isnin 23 Mei 2022 09:43

Penyerang skuad B-23 tahun negara, Luqman Hakim Shamsudin, memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kegagalannya menyempurnakan sepakan dalam penentuan penalti perlawanan penentuan pingat gangsa acara bola sepak Sukan SEA Hanoi, semalam.

Dalam aksi menentang Indonesia di Stadium Nasional My Dinh, skuad negara mendominasi hampir keseluruhan perlawanan tetapi dibolosi terlebih dahulu oleh jaringan Ronaldo Joybera Junior Kwateh sebelum Hadi Fayyadh Abdul Razak menyamakan kedudukan bagi mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Bagaimanapun, nasib jelas tidak menyebelahi Malaysia apabila sepakan Hadi Fayyadh dan Luqman Hakim diselamatkan penjaga gol lawan, Ernando Ari, untuk skuad negara menamatkan saingan di tempat keempat susulan kekalahan 3-4 dalam penentuan itu.

Luqman Hakim memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kegagalannya menyempurnakan sepakan itu.

"Saya juga agak kecewa dengan sepakan penalti saya tetapi rezeki tidak menyebelahi saya dan rakan sepasukan untuk menang pingat gangsa.

"Kami akan bangkit dengan lebih kuat dan akan fokus kepada Kejohanan AFC (Piala Asia B-23 di Uzbekistan bulan depan) nanti.

"Jadi, saya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, juga kepada kedua ibu-bapa saya kerana tidak dapat pingat gangsa ini.
"Insya-Allah, kami akan memberikan keputusan yang lebih baik dalam Kejohanan AFC nanti," katanya.

Aksi di pentas akhir, menyaksikan tuan rumah, Vietnam, memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki di Stadium Nasional My Dinh.

Kejayaan itu juga menyaksikan pasukan bimbingan Park Hang-seo itu menjadi pasukan tuan rumah pertama memenangi ibu segala pingat berkenaan selepas kali terakhir dilakukan Thailand dalam edisi di Nakhon Ratchasima pada 2007.

Dalam aksi final kali ini, gol tunggal Nham Manh Dung pada lewat permainan sudah cukup untuk pasukan Naga Emas itu mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam edisi di Manila tiga tahun lalu.

(Foto FAM FB)