Messi temui sentuhan, Argentina raih Finalissima

Khamis 2 Jun 2022 09:29

Lionel Messi mencuri tumpuan apabila membimbing juara Copa America, Argentina menang 3-0 mengatasi juara Eropah, Itali pada aksi Finalissima dekat Wembley.

Mendapat inspirasi daripada Messi, Argentina mendahului dua gol pada babak pertama hasil jaringan Lautaro Martinez dan Angel Di Maria.

Paulo Dybala melengkapkan kejayaan Argentina ketika Messi kembali ke tahap terbaiknya selepas musim yang mengecewakan bersama Paris Saint-Germain.

"Hari ini adalah ujian yang bagus kerana Itali adalah pasukan yang hebat. Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang bagus dan perancangan yang bagus untuk menjadi juara," kata Messi yang melakukan dua bantuan jaringan. 

"Ia final yang indah, dipenuhi rakyat Argentina. Apa yang kami lalui di sini sangat cantik."

Ia satu lagi saat diingati buat Argentina yang sudah layak ke Piala Dunia tahun ini selain mengatasi Brazil yang menamatkan penantian 28 tahun untuk menang Copa America pada 2021.

Argentina juga sudah menampilkan persembahan sebagai salah satu daripada pasukan pilihan untuk menang Piala Dunia dan menewaskan Itali menjadi satu lagi petunjuk kekuatan La Albiceleste yang tidak tewas dalam 32 perlawanan.

Jika Messi boleh bermain pada tahap itu di Qatar, skuad kendalian Lionel Scaloni pasti akan digeruni ketika pasukan berkenaan mengejar gelaran Piala Dunia pertama sejak 1986.

(Foto UEFA FB)

Artikel Berkaitan

Ini Piala Dunia terakhir saya - Messi

09:24 07-10-2022

Itali mahu ubati kekecewaan Piala Dunia

09:19 27-09-2022