Brendan puas kembali kompetitif selepas kanser

Selasa 21 Jun 2022 10:20

Setelah setahun bertarung pulih daripada kanser, Brendan Gan akui jaringan buat Selangor FC pada penampilan pertama untuk musim ini menjadi detik yang indah serta penuh emosi.

Tambah Brendan, segala pengorbanan dan semangatnya untuk kembali pulih sememangnya sangat mencabar dan dia gembira kerana akhirnya dapat bermain bola sepak secara kompetitif.

Namun, apa paling penting buat Brendan ialah kepuasan dapat membantu Selangor meraih tiga mata penuh selain meletakkan segalanya untuk kepentingan pasukan. 

"Ini hari yang sangat emosional buat saya dan keluarga setelah setahun (pulih dari kanser), saya akhirnya dapat kembali ke padang.

"Saya tahu ini bukan masih tahap yang dimahukan tetapi melakukan satu perkara yang saya sangat suka serta dapat membantu rakan sepasukan, itu paling bermakna berbanding untuk diri saya.

"Banyak perkara sukar telah ditempuhi sebelum saya mampu kembali ke tahap ini dan ramai tidak tahu apa yang saya kena lakukan bagi pulih sepenuhnya.

"Sememangnya segalanya sangat sukar dan tidak penting sama ada saya menjaringkan gol atau tidak kerana apa paling penting adalah pasukan berjaya meraih kemenangan serta mencapai apa yang disasarkan di penghujung musim ini," katanya.

Brendan meledak jaringan pertama Selangor pada minit ke-7 selepas merembat kencang bola di dalam kotak penalti hasil umpanan Quentin Cheng.

Gol itu menyemarakkan semangat Selangor yang berjaya menambah enam gol dengan Caion meledak hatrik selain gol masing-masing dari Hyuri, Nor Hakim Hassan dan Aliff Haiqal.

Dalam masa sama, Brendan harapkan rakan sepasukan jangan terbuai dengan kemenangan besar itu sebaliknya melihat jauh ke hadapan kerana masih banyak perlawanan perlu dilalui.

"Tanpa mengambil kira keputusan perlawanan 7-0, saya rasa apa paling penting adalah persembahan kami secara keseluruhan.

"Kami semua tidak boleh terlalu leka dengan kemenangan ini kerana fokus kami adalah dari satu ke satu perlawanan.

"Jika kami mampu meneruskan rentak dari tiap perlawanan, tidak mustahil kami boleh menaikkan kembali nama Selangor untuk berada dalam kalangan pasukan teratas," katanya.

(Foto Selangor FC FB)

 

Artikel Berkaitan

Selangor raih kepulangan Brendan

09:29 20-06-2022

Cools puas wakili Malaysia

09:26 16-06-2022