Arsenal sambar Vieira

Rabu 22 Jun 2022 09:56

Arsenal melengkapkan pembelian pemain tengah Porto, Fabio Vieira dengan nilai 40 juta euro (RM185.33 juta) hari ini.

Pemain berusia 22 tahun itu muncul sebagai seorang daripada bintang paling berbakat Eropah selepas digilap sistem pemain remaja Portugal.

Dia memainkan peranan penting membantu Porto meraih dua kejuaraan domestik musim lalu, menjaringkan tujuh gol dan 16 bantuan jaringan dalam semua kejohanan.

Sambil memuji pemain ketiga ditandatangani Arsenal pada fasa perpindahan kali ini, pengurus Gunners, Mikel Arteta berkata: "Saya sangat teruja kami mengenalpasti dan menandatangani bakat yang begitu istimewa.

"Fabio ialah pemain yang sangat kreatif yang akan membawa kualiti tinggi dan kepelbagaian dalam cara permainan menyerang kami."

Porto berkata minggu lalu bahawa Vieira, yang dipilih sebagai pemain terbaik Kejohanan Eropah Bawah 21 Tahun, akan berhijrah ke London dan secara prinsipnya bersetuju dengan perjanjian dicapai.

Juara Portugal itu berkata Gunners akan membayar 35 juta euro (RM162.16 juta) buat pemain tengah itu manakala yang lain ialah potensi tambahan.

Arsenal tidak menyatakan tempoh kontrak tetapi kenyataan Porto menyatakan ia membabitkan kontrak lima tahun.

Arteta mahu menambah kreativiti dalam skuadnya selepas Arsenal terlepas aksi Liga Juara-Juara musim lalu. 

(Foto Arsenal FB)

Artikel Berkaitan

Arsenal terlepas saingan Liga Juara-Juara

09:20 17-05-2022

Arteta bidas keputusan pengadil

09:44 13-05-2022