Kedah waspadai reputasi Bali United

Jumaat 24 Jun 2022 09:33

Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) Aidil Sharin Sahak sedar pertemuan menentang juara Liga 1 Indonesia, Bali United FC pada saingan Piala AFC 2022 di Bali Indonesia malam ini bakal menjadi ujian mencabar anak buahnya.

Hadir ke Bali dengan dua pertukaran pemain import baharu - Mahmoud Al-Mardi dari Jordan dan Sanrawat Dechmitr dari Thailand - membuktikan KDA tetap mahu membuktikan kemampuannya dalam Kumpulan G yang turut diwakili Kaya Ilo Ilo FC dan Visakha FC dalam usaha memburu satu slot ke peringkat kalah mati Zon Asean selepas ini.

Menurut Aidil, ujian pertama pada saingan Piala AFC kali ini dianggap cukup mencabar kerana Bali United memiliki reputasi serta aura juara sebanyak dua kali dalam Liga 1 Indonesia.

"Ini ujian besar dan mencabar yang harus kami lalui dan ia tidak mudah buat kerana berdasarkan reputasi dan pencapaian tuan rumah selaku juara Liga 1 Indonesia, sudah pasti mereka membawa aura berkenaan pada perlawanan pertama nanti.

"Namun sebagai jurulatih, saya tidak mahu pasukan terlalu memikirkan kehebatan pihak lawan melalui reputasi serta aura kehebatan mereka, hingga memberi tekanan buat kami dalam memburu kemenangan.

"Sebaliknya saya yakin dengan segala persiapan kami rancangkan, kami mahu turun beraksi penuh berkeyakinan, bersemangat dengan fokus mencari kemenangan pada satu persatu perlawanan tanpa terlalu memikirkan sasaran keseluruhan dalam Kumpulan G," katanya.

Dalam perkembangan sama, Aidil turut menarik nafas lega di atas ketibaan penyerang utamanya, Ronald Ngah Wanja yang lewat sehari ke Bali berbanding pasukan pada Isnin lalu berikutan masalah visa kemasukan.

Keadaan itu difahamkan akibat peraturan visa yang ketat oleh Kerajaan Indonesia terhadap kemasukan warga Cameroon.

(Foto Kedah Darul Aman FC FB)