Harimau Malaya huni kedudukan 147 dunia

Jumaat 24 Jun 2022 09:50

Prestasi mantap skuad Harimau Malaya pada perlawanan persahabatan dan kelayakan Piala Asia 2023 baru-baru ini jelas memberi impak positif kepada ranking pasukan kebangsaan apabila melonjak ke kedudukan ke-147 Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Berdasarkan kepada kedudukan terkini badan induk bola sepak dunia itu, skuad kendalian Kim Pan Gon naik tujuh anak tangga berbanding berada di tangga ke-154 pada kemas kini terakhir, Mac lalu.

Keputusan positif diraih dalam beberapa aksi persahabatan dan ketika kempen kelayakan Piala Asia 2023 menyumbang kepada kenaikan ranking Harimau Malaya.

Pasukan kebangsaan yang menamatkan badi layak ke Piala Asia tahun depan secara merit selepas 42 tahun, mengumpul 1057.59 mata keseluruhan dan menyaksikan penambahan 22.53 mata berbanding sebelum ini.

Berdasarkan kedudukan terbaharu itu, skuad Harimau Malaya berada di kedudukan ke-26 dalam kalangan negara Asia, dan keempat di Asia Tenggara selepas Vietnam (97), Thailand (111) dan Filipina (134).

Bagi kedudukan keseluruhan, Brazil kekal sebagai pasukan nombor satu dunia dengan mengumpul 1837.56 mata, sementara Belgium di tangga kedua (1821.92) dan Argentina ketiga (1770.65).

(Foto FAM FB)