Ifedayo hukum Selangor

Rabu 6 Julai 2022 09:31

Dua gol penyerang Melaka United Ifedayo Olusegun berjaya membantu pasukannya menewaskan Selangor 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan Melaka kini berada di tangga kelapan liga sementara Selangor di kedudukan ketujuh dengan masing-masing mengumpul 12 mata.

Perlawanan tersebut menyaksikan  kedua pasukan tuan rumah dan pelawat beraksi hambar dengan barisan penggempur gagal mengatasi benteng pertahanan kedua-dua pasukan sehingga pemghujung babak pertama perlawanan.

Melaka akhirnya memecahkan kebuntuan menerusi hantaran lintang Sony Norde yang disudahkan dengan baik Ifedayo untuk menghadiahkan jaringan pembukaan tuan rumah pada minit ke-39.

Selangor yang tersentak dengan gol tuan rumah, nyaris meledak jaringan penyamaan namun sepakan percuma Mukhairi Ajmal pada minit ke-41 gagal disambut Herlison Caion.

Bersambung babak kedua Selangor terus berusaha mencari jaringan penyamaan namun percubaan Quentin Cheng pada minit ke-50 terus kedakapan penjaga gol Melaka, Brian See.

Ifedayo berjaya meledak gol kedua skuad Sang Kancil selepas menerima hantaran jauh pada minit ke-57 untuk menewaskan pertahanan Selangor seterusnya mengelicik penjaga gol Samuel Somerville bagi jaringan keduanya pada perlawanan terbabit.

Selepas itu jaringan itu, Selangor cuba bangkit dengan mencipta beberapa peluang untuk merobek gawang Melaka tetapi gagal menemui sentuhan penyudah sekali gus menyaksikan tuan rumah mencatat kemenangan di laman sendiri.

(Foto Melaka United FB)

Artikel Berkaitan

JDT bangkit tundukkan Kedah

10:20 05-10-2022

Lambert ledak hatrik, KL belasah Sarawak United

09:16 29-09-2022