Ronaldo sanggup potong gaji untuk tinggalkan Man United

Jumaat 22 Julai 2022 09:31

Cristiano Ronaldo dilapor sedia menerima potongan gaji 30 peratus bagi membolehkan dia meninggalkan Manchester United.

Ejen bintang Portugal itu, Jorge Mendes amat terdesak mencari kelab baharu untuk Ronaldo yang peluangnya tampak semakin tipis.

Dia ditawarkan ke Chelsea dan Bayern Munich namun kedua-duanya melepaskan peluang memiliki Ronaldo manakala pemain itu turut menolak tawaran lumayan untuk beraksi di Arab Saudi.

Dia juga ditawarkan ke Atletico Madrid tetapi walaupun laporan mendakwa pengurus Diego Simeone berminat dengan pemain itu, kelab La Liga itu menukar fikiran dengan menganggap Ronaldo akan mendatangkan masalah kepada mereka terutamanya dari segi kewangan.

Media melaporkan dia turut ditawarkan kepada Barcelona sebelum mereka menandatangani Robert Lewandowski manakala Real Madrid langsung tidak menunjukkan minat.

Dalam usaha mencari penyelesaian, Mendes menegaskan kepada pembeli berpotensi bahawa Ronaldo sedia dipotong gaji sehingga 30 peratus bagi membolehkan dia keluar dari Old Trafford.

Namun pengurus baharu United, Erik ten Hag tetap dengan perancangannya mahu mengekalkan Ronaldo bersama mereka.

Ronaldo yang berusia 37 tahun meledak 24 gol dalam semua kejohanan untuk United musim lalu manakala rakan senegara, Bruno Fernandes di tempat kedua dengan hanya 10 gol

(Foto Man United FB)

Artikel Berkaitan

Maguire perlu bangkit: Carragher

09:39 29-09-2022

Ronaldo tak timbulkan masalah: Pogba

09:21 29-09-2022