Atletico tak mampu miliki Ronaldo

Rabu 27 Julai 2022 09:42

Peluang Cristiano Ronaldo untuk meninggalkan Manchester United tampak semakin tipis apabila pasukan La Liga Atletico Madrid menafikan spekulasi penyertaan penyerang Portugal itu.

Ronaldo kembali ke United semalam selepas tidak menyertai jelajah 17 hari ke Thailand dan Australia ekoran "masalah keluarga".

Pemain 37 tahun itu berbincang dengan pengendali baharu Erik ten Hag - pertemuan pertama antara mereka sejak Ronaldo menyatakan hasratnya untuk meninggalkan Old Trafford.

Ejen pemain itu, Jorge Mendes cuba menjayakan perpindahan, tetapi dengan Bayern Munich dan Chelsea sudah menutup pintu, pilihan Ronaldo kini semakin tipis apabila presiden Atletico Enrique Cerezo mengatakan yang mereka tidak mampu membelinya.

"Saya tidak tahu siapa yang mereka-reka cerita tentang Cristiano Ronaldo ke Atletico Madrid.

"Ia tidak benar. Secara praktikal ia sesuatu yang mustahil untuk dia datang ke Atletico Madrid," kata Cerezo.

Kontrak Ronaldo masih berbaki setahun dan ketua eksekutif Man United Richard Arnold dilaporkan sedia berbincang dengan Mendes untuk mencari penyelesaian terbaik walaupun tidak berminat untuk menjual pemenang Ballon D'or lima kali itu.

Man United seterusnya akan bertemu Wrexham dalam satu perlawanan persahabatan tertutup hari ini, namun Ronaldo dijangka tidak akan menyertai perlawanan tersebut.


(Foto Man United FB)

Artikel Berkaitan

Maguire perlu bangkit: Carragher

09:39 29-09-2022

Ronaldo tak timbulkan masalah: Pogba

09:21 29-09-2022