Pogba terlepas Piala Dunia?

Jumaat 29 Julai 2022 10:10

Bintang Perancis Paul Pogba menjangka perpindahannya ke Juventus akan memberi nafas baru buat kerjayanya tetapi kini berdepan kemungkina terlepas aksi Piala Dunia.

Pogba meninggalkan Manchester United dan kembali ke Turin untuk melupakan tempoh sukarnya di England yang menyaksikannya kerap dibelenggu kecederaan.

Bagaimanapun, masalah lutut kembali melanda Pogba pada kepulanganya ke Juventus dan laporan di Itali tidak memberikan gambaran yang positif.

Pogba mengadu tentang kecederaannya itu ketika mengikuti jelajah Juventus di Amerika Syarikat (AS) dan pemeriksaan awal mendapati meniskus lututnya terkoyak.

Kecederaan di lutut kanannya itu bermakna Pogba akan diketepikan untuk satu jangka masa yang belum ditetapkan.

Media Itali melaporkan terdapat dua pilihan untuk Pogba; yang pertama membabitkan penyingkiran bahagian meniskus yang telah rosak atau yang kedua iaitu fokus untuk membaiki lututnya sepenuhnya. Itu adalah pilihan standard untuk membaiki meniskus yang koyak.

Justeru, pemain berusia 29 tahun itu akan diketepikan selama kira-kira enam minggu tetapi pilihan kedua mungkin memaksanya melupakan baki aksi tahun ini termasuk Piala Dunia Qatar, November depan.

(Foto Paul Pogba FB)