Jota kekal di Liverpool hingga 2027

Rabu 3 Ogos 2022 09:33

Penyerang Portugal, Diogo Jota memilih masa depannya bersama Liverpool apabila menandatangani perjanjian kontrak baharu sehingga 2027 untuk kekal di kelab Merseyside itu.

Jota diberi ganjaran untuk prestasi cemerlangnya sejak menyertai Liverpool dari Wolves pada 2020 bersama barisan bintang seperti Mohamed Salah, Trent Alexander-Arnold, Jordan Henderson dan Fabinho dan memberikan masa depan jangka panjangnya kepada kelab itu.

Pemain berusia 25 tahun itu menjaringkan 21 gol dalam semua perlawanan The Reds musim lalu, tetapi dia akan berdepan saingan sengit untuk mendapatkan tempat pada musim ini berikutan ketibaan penyerang muda Uruguay, Darwin Nunez dari Benfica.

Rundingan antara pengarah sukan Liverpool, Julian Ward dan ejen Jota, Jorge Mendes berjalan lancar membolehkan penyerang berkenaan menjadi pemain terbaharu skuad Jurgen Klopp menandatangani kontrak baharu.

"Baiklah, (saya) sangat berbangga saya harus katakan," katanya kepada laman web rasmi Liverpool.

"Jelas sekali sejak saya tiba dua tahun lalu, saya menetapkan diri sebagai pemain penting dalam pasukan ini, itulah yang saya mahukan sejak dari awal.

"Sekarang menandatangani perjanjian jangka panjang baharu ia jelas sekali daripada perspektif kelab bukti kepercayaan terhadap diri saya sebagai pemain.

"Jadi, permulaan musim baharu mari kita lakukan," katanya.

Jota diketepikan semasa pra-musim kerana kecederaan hamstring dialaminya dalam tugasan antarabangsa. -

(Foto Diogo Jota FB)