Kemenangan besar hasil pasukan: Bidoglio

Rabu 3 Ogos 2022 09:54

Pengendali baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio enggan mendabik dada selepas membelasah Kuala Lumpur City 5-0 pada aksi pertamanya di Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Bagi bekas pemain antarabangsa Venezuela itu, kemenangan yang digapai adalah hasil kerjasama berpasukan yang memiliki mentaliti kemenangan malah pemain JDT nyata mempamerkan taktikal permainan yang digarap dalam tempoh dua hari dia membimbing pasukan itu.

"Ia kemenangan berpasukan dan saya gembira dengan komitmen setiap pemain yang diturunkan pada perlawanan itu malah pemain mengikut perancangan taktikal yang dilaksanakan ketika sesi latihan.

"Saya juga berterima kasih kepada Boss (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang memberi kepercayaan untuk membimbing JDT dan saya akui pasukan JDT sudah lengkap dan hanya perlu digilap untuk lebih mantap.

"Apapun, aksi menentang KL City bukanlah mudah kerana pasukan itu juga memberi tekanan dengan corak serang balas pantas yang hampir memerangkap benteng JDT tapi benteng yang ampuh dan memperagakan disiplin tinggi menyukarkan pemain lawan mencipta jaringan," katanya.

Bidoglio juga akan mengkaji untuk menggilirkan setiap pemain bagi memastikan mereka diberi peluang beraksi terutama pemain yang jarang diturunkan bagi meraih minit perlawanan kompetitif tatkala saingan liga masih panjang.

"JDT dibarisi pemain berkaliber dan mantap. Ini memberi ruang kepada saya menilai sendiri tahap dan kualiti setiap pemain malah saya akan menggilirkan pemain namun bergantung kepada situasi," kata Bidoglio

(Foto JST FB)