Skuad B-16 bermula garang

Rabu 3 Ogos 2022 10:30

Pasukan kebangsaan membuka kempen Kejuaraan AFF Bawah 16 (B-16) dengan langkah kanan apabila menundukkan Kemboja 3-0 dalam aksi pertama Kumpulan C di Stadium Maguwoharjo, Sleman di Indonesia, semalam.

Kejayaan menundukkan lawan itu membuka peluang cerah buat skuad muda negara untuk melangkah lebih jauh, sekali gus mempertahankan mahkota kejuaraan dimenangi pada edisi 2019 lalu.

Dalam aksi itu, anak didik Osmera Omaro nyata menguasai aksi dan kerap melancarkan serangan ke kubu Kemboja.

Gol pertama Malaysia dijaringkan menerusi Arami Wafiy Zakimi seawal minit keenam yang kekal hingga tamat aksi di babak pertama.

Skuad B-16 terus menguasai babak kedua perlawanan dan hasilnya berjaya menggandakan jaringan di minit ke-59 selepas gol sendiri pemain Kemboja, Tum Sophat.

Kem negara bertambah selesa di minit ke-78 apabila Muhamad Faris Danish mencetak nama selaku penjaring apabila menanduk masuk untuk menghadiahkan gol ketiga buat pasukan.

Kejayaan memungut tiga mata penuh itu menyaksikan skuad negara kini berada di tangga pertama Kumpulan C dengan kelebihan gol ke atas Myanmar yang turut meraih tiga mata.

Terdahulu Myanmar mencipta kejutan selepas menewaskan pasukan pilihan Australia 3-2.

Malaysia dijadual bertemu Myanmar di venue sama, Jumaat ini.

(Foto FAM FB)