Vardy pengganti Ronaldo?

Khamis 4 Ogos 2022 09:37

Manchester United kini sudah mula mencari pengganti Cristiano Ronaldo, menurut laporan awal pagi tadi.

Pengurus Erik ten Hag tampak hilang sabar apabila menganggap tidakan Ronaldo meninggalkan Old Trafford sebelum tamat aksi persahabatan menentang Rayo Vallecano tidak boleh diterima.

Bintang Portugal itu tampil kali pertama dalam aksi pramusim United namun dikeluarkan pada separuh masa pertama.

Laporan mendakwa perpindahan ke Napoli mungkin paling sesuai buat Ronaldo jika dia mahu berpindah ke kelab Serie A dan mahu beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara.

Jamie Vardy yang berbaki kontrak setahun dengan Leicester antara pemain yang dipertimbangkan United untuk menggantikan Ronaldo manakala kelab turut berminat dengan pertahanan kiri Barcelona, Sergino Dest.

Erik ten Hag turut dilaporkan mahu mendapatkan Hakim Ziyech tetapi kurang dipersetujui hierarki kelab.

Legenda Manchester United, Dwight Yorke menegaskan kelab perlu berada di landasan tepat kerana mereka kini tidak mampu menarik pemain berprofil tinggi.

Yorke berkata: "Tiada saingan Liga Juara-Juara adalah isu yang serius dan ia makin bertambah sukar dari setahun ke setahun.

"Pemain dan ejen melihat daripada luar dan mereka berpendapat ini bukan tempat yang tepat dengan segala permasalahan. Jadi United perlu pulih dan kembali ke landasan yang sepatutnya."

(Foto Jamie Vardy FB)