Man City masih jadi pilihan untuk musim 2022/23

Khamis 4 Ogos 2022 16:55

Liga Perdana bakal menyingkap tirai musim 2022/23 minggu ini dan persaingan untuk merebut kejuaraan liga paling sengit dunia kembali berbara.

Mungkinkah Manchester City akan mengekalkan mahkota PL atau Liverpool mampu merampas kejuaraan?

Man City di bawah kendalian Pep Guardiola tampak lebih kuat dan menjadi pasukan pilihan untuk meraih kejuaraan liga buat kali kesembilan untuk musim ini.

Walaupun kehilangan Gabriel Jesus dan Raheem Sterling, kedua pemain itu gagal menjaringkan jumlah gol yang tinggi pada kempen terakhir mereka di Etihad dan pembelian Erling Haaland menjadi penyelesaian buat the Citizens.

Kemasukan Haaland yang dikenali sebagai "The Terminator" dengan rekod 22 gol dalam 24 penampilan Bundesliga pada musim lalu, dijangka menjadi pencabar untuk Kasut Emas pada musim ini.

City juga memperkuatkan jentera tengah dengan pembelian Kalvin Phillips untuk memberikan sokongan kepada tonggak jentera Kevin de Bruyne yang masih mampu beraksi pada tahap tertinggi walaupun mencecah usia 31 tahun.

Skuad Guardiola jelas menjadi pilihan untuk mempertahankan kejuaraan berbanding pencabar Liverpool untuk musim ini.

Naib juara musim lalu Liverpool sekali lagi menjadi pilihan untuk menamatkan musim ditangga kedua di belakang City.

Liverpool mempunyai prestasi yang menakjubkan pada musim lalu, memenangi Piala Liga dan Piala FA. Walaupun kehilangan Sadio Mane mereka telah membeli Darwin Nunez dan Fabio Carvalho untuk memperkuatkan pasukan.

Namun, pemain baru Liverpool dijangka memerlukan masa terutamanya Nunez untuk menyesuaikan diri di Liga Perdana sebagai pengganti kepada Mane.

Chelsea pula terdesak untuk merapatkan jurang dengan Man City dan Liverpool dan sedang giat memperkuatkan pasukan dengan pemain baru.

Raheem Sterling menjadi pemain pertama Chelsea pada era Boehly selepas perpindahan £47.5 juta (RM257 juta) dari Man City, tetapi pemain antarabangsa England itu menjadi satu-satunya tambahan di bahagian serangan.

Tumpuan Chelsea adalah untuk menggantikan pertahanan tengah apabila kehilangan Antonio Rudiger dan Andreas Christensen, yang masing-masing menyertai Real Madrid dan Barcelona secara percuma.

The Blues membayar £33 juta (RM178 juta) untuk Kalidou Koulibaly dari Napoli dan dilaporkan hampir mencapai kesepakatan £50 juta (RM271 juta) untuk Marc Cucurella dari Brighton.

Tetapi prestasi Cesar Azpilicueta, Marcos Alonso, Timo Werner dan Hakim Ziyech pada aksi pramusim, menunjukkan Chelsea masih ketinggalan dibelakang Man City dan Liverpool.

Pengendali baru Manchester United Erik ten Hag diberikan tugas membawa Red Devils kembali ke Liga Juara-Juara dan telah membuat tiga penambahan besar menerusi Lisandro Martinez, Tyrell Malacia dan Christian Eriksen.

Prestasi pemain muda The Red Devils - Alejandro Garnacho, Amad Diallo, Anthony Elanga, Shola Shoretire - dijangka menjadi salah satu faktor tambahan untuk mereka memperbaiki persembahan mereka.

Tiga pasukan baharu naik taraf - Fulham, Nottingham Forest dan Bournemouth - diramalkan menjadi 'pilihan' untuk kembali ke Liga Kejuaraan.

Fulham sering dirujuk sebagai kelab 'yo-yo', sentiasa diturunkan dan dinaikkan pangkat antara Liga Kejuaraan dan Liga Perdana.

Pasukan bimbingan Marco Silva tampak tidak mempunyai barisan pemain yang mampu mencabar di Liga Perdana.

Forest pula adalah kelab yang penuh dengan sejarah dengan dua Piala Eropah di bawah kendalian pengurus legenda Brian Clough.

Pengendali Steve Cooper telah menjadikan dirinya legenda kelab setelah membimbing Forest ke Liga Perdana, namun mereka masih tampak kekurangan kualiti untuk kekal di Liga Perdana.

Bournemouth kembali ke Liga Perdana selepas dua tahun  dan the Cherries akan berusaha untuk meniru prestasi yang sama seperti ketika mereka mula-mula dinaikkan ke tanah yang dijanjikan untuk bola sepak Inggeris pada 2015.

Tetapi mereka berdepan tugas sukar dibawah pengurus Scott Parker yang sebelum ini gagal menyelamatkan Fulham dari disingkirkan pada musim 2019.

(Foto Man City FB)

Artikel Berkaitan

Sikap Ronaldo buat rakan sepasukan muak

10:01 10-08-2022

Werner kembali ke pangkuan RB Leipzig

10:30 09-08-2022