Skuad B-16 congak kemenangan ke atas Australia

Isnin 8 Ogos 2022 10:25

Skuad bawah 16 (B-16) tahun negara berhadapan misi wajib menang ke atas Australia di Stadium Maguwoharjo, Sleman, Indonesia, petang ini untuk mengesahkan slot ke separuh akhir Kejuaraan B-16 AFF.

Anak buah Osmera Omaro sebenarnya hanya memerlukan satu mata sekiranya Myanmar seri atau tewas di tangan Kemboja dalam satu lagi aksi terakhir Kumpulan C yang turut berlangsung hari ini.

Namun, kemenangan ke atas Australia paling menjamin peluang untuk muncul juara kumpulan dan mara ke separuh akhir.

Prestasi semasa Australia yang tewas di tangan Myanmar dan Kemboja dalam dua aksi sebelum ini memberikan harapan untuk skuad kendalian Osmera untuk meraih kemenangan.

Bagaimanapun, mereka tetap perlu mengelak daripada memiliki sikap terlalu selesa kerana Australia pasti mahu menamatkan mereka walaupun sudah tersingkir daripada kejohanan.

Dan pengendali pasukan Osmera pasti mengharapkan persembahan lebih baik dapat ditampilkan barisan pemain berbanding ketika menang 3-0 ke atas Kemboja dan terikat 1-1 dengan Myanmar, sebelum ini.

"Saya nampak peluang masih cerah (untuk ke separuh akhir) disebabkan perlawanan Myanmar dan Kemboja akan sengit, jadi kita ada kelebihan daripada segi jaringan gol.

"Jadi, kemungkinan besar kita cuma perlu menang (bertemu Australia) dan kita akan layak ke separuh akhir," katanya.

Skuad negara berada di kedudukan teratas Kumpulan C, berkongsi empat mata dengan Myanmar di tangga kedua, manakala Kemboja pula menghuni tangga ketiga dengan tiga mata dan Australia di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

(Foto FAM FB)

Artikel Berkaitan

Pan Gon puji semangat juang anak buah

09:18 26-09-2022

Pan Gon mahu kutip maklumat tambahan

09:32 22-09-2022