Gaji Arif Aiman hanya RM11k musim lalu: TMJ

Selasa 9 Ogos 2022 09:37

Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa ayam tambatannya Arif Aiman Hanapi hanya dibayar gaji RM11,000 pada musim lalu

Menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya, Tunku Ismail berkata, beliau juga bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku dalam JDT dan ianya menetapkan DNA buat Harimau Selatan hingga menjadi kelab yang digeruni ketika ini.

Katanya, dari aspek menandatangani pemain, beliau dan jurulatih akan menilai setiap pemain mana yang harus ditandatangani berdasarkan pemain berkenaan boleh mengikuti falsafah atau gaya permainan yang ditetapkan kelab.

"Pengurusan, ini adalah benda paling mustahak dalam kelab bola sepak. Tenaga di bilik persalinan. Buatlah apa pun jika 30 pemain tak nak berlari atau bersungguh-sungguh, kita tidak akan dapat keputusan yang baik.

"Saya kenal setiap pemain dari akademi hingga ke pasukan utama. Saya juga yang membuat keputusan berkenaan kontrak pemain.

"Tahukah anda berapa gaji Arif Aiman tahun lepas? 11 ribu sahaja. Tetapi main bersungguh-sungguh. Kenapa? kerana macam mana saya jaga setiap pemain.

"Contoh bonus, bonus akan diberikan kepada setiap pemain yang memberi 100 peratus dalam latihan dan perlawanan," tulis Tunku Ismail di ruangan Insta Story miliknya.

Arif Aiman mempamerkan aksi cemerlang musim lalu yang menyaksikan dia dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) selain turut memenangi anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.

Selain itu, Tunku Ismail menegaskan bahawa mana-mana individu yang ingin maju dalam menguruskan kelab bola sepak perlu memiliki dua perkara iaitu pengetahuan dan sikap kemanusiaan.

"Saya berhubung dengan jurulatih dan pihak pengurusan setiap hari. Jurulatih akan kongsi strategi dan pemilihan pemain. Saya pula akan minta macam mana saya nak pasukan main dan pemain mana saya rasa sesuai.

"Jurulatih akan buat persiapan dalam latihan mengikut permintaan saya atau apa saya inginkan. Alhamdulillah di JDT kita boleh lihat hasilnya.

"Pihak pengurusan atau jurulatih dapat arahan daripada saya dan jika apa-apa berlaku, baik atau pun buruk saya bertanggungjawab," jelasnya

(Foto Sabah JST FB)

Artikel Berkaitan

TMJ: Sama ada Perak kaya atau LTK tiada kerja

09:20 21-09-2022

JDT menang, Bergson ledak hatrik

10:18 30-08-2022