Kedah gagal teruskan kemaraan di pentas Piala AFC

Rabu 10 Ogos 2022 09:24

Perjalanan Kedah Darul Aman FC dalam Piala AFC 2022 ternoktah di peringkat separuh akhir Zon ASEAN selepas tewas 1-2 kepada kelab Indonesia, PSM Makassar, di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali semalam.

Jaringan Yakob Sayuri dan Yuran Fernandez dalam babak berbeza sudah cukup untuk membawa Makassar ke final sambil Kedah cuba merencanakan kebangkitan pada penghujung perlawanan menerusi gol Fayadh Zulkifli Amin.

Makassar berada di depan pada minit ke-31 apabila Sayuri menyudahkan lintangan rendah Rizky Pratama untuk menewaskan Ifwat Akmal Chek Kassim.

Fernandez kemudian menambah derita Lang Merah dalam babak kedua dengan menanduk masuk bola daripada sepakan penjuru pada minit ke-55 untuk Makassar selesa mendahului 2-0.

Bagaimanapun, kad kuning kedua Fernandez kerana mengasari Ronald Ngah Wanja pada minit ke-62, mengubah arus permainan. 
 
Hasilnya, Fayadh berhasil merapatkan kedudukan pada minit ke-86 menerusi rembatan deras di depan gawang lawan.

Walaupun Makassar kehilangan seorang lagi pemain selepas Agung Mannan turut dilayangkan kad kuning kedua dalam waktu kecederaan, Kedah masih tidak menemui gol penyamaan, sekali gus terpaksa merelakan perjuangan mereka ternoktah setakat itu.

(Foto AFC Cup FB)

Artikel Berkaitan

JDT bangkit tundukkan Kedah

10:20 05-10-2022

KL City Raja ASEAN

10:03 25-08-2022