Perancis dibelenggu masalah kecederaan

Selasa 20 September 2022 09:44

Kapten, Hugo Lloris dan pemain pertahanan, Theo Hernandez mangsa terkini kecederaan menjelang aksi Liga Negara-Negara menentang Austria dan Denmark, minggu ini.

Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) memaklumkan, penjaga gol Nantes, Alban Lafont dan bek Aston Villa, Lucas Digne dipanggil sebagai pengganti bagi perlawanan menentang Austria pada Khamis dan Denmark pada Ahad.

Lloris cedera paha kanan manakala Hernandez cedera otot, sekali gus menjejaskan persiapan juara dunia itu yang terus dihimpit masalah kecederaan.

Selain kehilangan Paul Pogba yang sedang dalam pemulihan selepas pembedahan lutut, jurulatih, Didier Deschamps kehilangan khidmat Presnel Kimpembe, Lucas Hernandez, N'Golo Kante, Kingsley Coman dan Karim Benzema.

Nasib malang berterusan apabila pemain yang dipanggil menggantikan Pogba iaitu Boubacar Kamara juga mengalami masalah lutut.

Penjaga gol AC Milan, Mike Maignan dijangka menggantikan tempat Lloris, iaitu pemain kedua membuat penampilan terbanyak untuk Perancis dengan 139 cap.

Penyerang Eintracht Frankfurt, Randal Kolo Muani dipanggil buat kali pertama bersama bek tengah Monaco, Benoit Badiashile dan rakan sekelabnya, Youssouf Fofana.

(Foto Équipe de France de Football FB)

Artikel Berkaitan

Deschamps pertahankan Mbappe

10:04 27-09-2022

Perancis berhadapan bahaya

09:27 26-09-2022