Pan Gon dalam proses bina skuad masa depan

Selasa 20 September 2022 09:48

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon, memiliki skuad seimbang dalam merencanakan perancangan terbaik menjelang saingan King's Cup di Chiang Mai bermula Khamis ini.

Pemain tengah negara Faisal Halim berpendapat kombinasi pemain muda dan pemain berpengalaman akan meningkatkan kualiti skuad kebangsaan berbanding barisan terdahulu.

Pan-gon kali ini membariskan tiga pemain yang melebihi usia 30 tahun, iaitu Brendan Gan (34 tahun), Darren Lok (32) dan Corbin Ong (31) serta memberi petanda yang dia mahu membentuk skuad untuk masa depan.

"Ini adalah barisan yang mungkin akan menjadi skuad terbaik buat negara pada masa akan datang," katanya.

"Kerana kami memiliki campuran pemain muda dan pemain senior yang tidak terlalu tua.

"Apa yang saya boleh katakan, dalam pasukan ini tiada pemain bintang, dan itulah perkara terpenting.

"Semua pemain bekerjasama dan kita tidak boleh menafikan bahawa kita ada pemain muda yang bagus.

"Sasaran peribadi saya adalah untuk membawa skuad negara ke final," katanya.

Malaysia akan menentang tuan rumah, Thailand, pada Khamis ini dan sekiranya menang, skuad negara akan bertemu sama ada Tajikistan atau Trinidad & Tobago bagi penentuan kejuaraan.

(Foto FAM FB)

Artikel Berkaitan

Pan Gon puji semangat juang anak buah

09:18 26-09-2022

Pan Gon mahu kutip maklumat tambahan

09:32 22-09-2022