Pan Gon tak gentar ranking Thailand

Rabu 21 September 2022 09:29

Rekod kemenangan ke atas Thailand sejak 2018 menjadi taruhan pasukan kebangsaan pada saingan Piala Raja Thai di Chiang Mai, esok

Berdasarkan rekod, skuad Harimau Malaya miliki rekod tidak tewas di tangan skuad Gajah Perang dalam tempoh empat tahun lalu meskipun kedudukan ranking lawan berada lebih tinggi berbanding Malaysia.

Thailand ketika ini menghuni tangga ke-111 dunia sementara skuad negara pula di kedudukan 148, dengan kedua-dua pasukan sudah bertemu sebanyak empat kali sejak 2018 apabila Malaysia menang dua kali dan selebihnya seri.

Namun, pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon percaya kedudukan ranking bukanlah kayu pengukur sebenar kepada prestasi pasukan apabila mengakui anak buahnya mampu mencipta kejutan di sana nanti.

"Saya menekankan tidak semestinya pasukan lawan lebih kuat daripada kami, tetapi kami masih harus menghormati mereka," kata Pan Gon

"Apa yang pasti, saya anggap kejohanan ini sebagai medan terbaik buat barisan pemain mencabar kemampuan sendiri kerana kami akan menentang negara yang menduduki ranking lebih tinggi."

Sejak membimbing skuad Harimau Malaya pada Mac lalu, corak permainan berintensiti tinggi yang diterapkan Pan Gon berjaya membawa perubahan positif.

Hasilnya Pan-gon berjaya menamatkan badi selama 43 tahun dengan membawa Malaysia layak ke Piala Asia secara merit pada tahun depan, selain turut melonjakkan ranking pasukan di tangga ke-148 ketika ini, berbanding 154 pada Mac lalu.

Untuk saingan di Piala Raja Thai itu nanti, skuad Harimau Malaya diundi bertemu Thailand dalam aksi pertama dan jika menang, pasukan negara akan menentang pemenang antara Trinidad & Tobago dan Tajikistan di perlawanan akhir.

Tetapi jika tewas di tangan skuad kendalian Alexandre Polking itu, Malaysia akan beraksi penentuan tempat ketiga dan keempat, sama ada menentang Trinidad & Tobago atau Tajikistan, pada Ahad ini.

(Foto FAM FB)

Artikel Berkaitan

Malaysia diikat pasukan belasahan Guam

10:04 06-10-2022

Pan Gon puji semangat juang anak buah

09:18 26-09-2022