Pan Gon mahu kutip maklumat tambahan

Khamis 22 September 2022 09:32

Piala Raja Thailand 2022 bakal menjadi medan persiapan terbaik buat skuad Harimau Malaya untuk pamer aksi lebih 'garang' pada kempen Piala Asia tahun depan.

Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon menjelaskan saingan empat penjuru yang turut menampilkan Thailand, Trinidad dan Tobago serta Tajikistan itu penjadi pentas anak buahnya untuk mengutip pengalaman dan meningkatkan lagi keyakinan mereka.

Pengendali dari Korea Selatan itu, menjelaskan kejohanan itu memberi ruang mereka menguji pasukan berada di ranking lebih baik dengan Thailand menjadi pencabar pertama mereka pada malam ini.

"Selepas aksi kelayakan Piala Asia, kami membuat persiapan untuk Piala AFF dan pusingan akhir Piala Asia. Saingan di sini adalah satu daripada persiapan kami," katanya pada sidang media praperlawanan di Chiang Mai, semalam.

"Menerusi saingan di sini, saya berpeluang mendapatkan maklumat yang lebih mendalam mengenai pemain saya. Saya berterima kasih kerana menjemput kami."

"Sebagaimana saya sebutkan, ini sebahagian daripada persiapan kami dan saya mahu melihat setiap pemain dan mendapatkan maklumat tambahan."

"Thailand pasukan yang berada di atas kita dengan barisan pemain yang baik, ini akan beri pengalaman berguna buat pemain di mana kami akan bermain dalam kejohanan yang lebih besar di masa hadapan."

Selain pertemuan antara Malaysia dan Thailand, satu lagi aksi turut berlangsung membabitkan aksi Trinidad dan Tobago dan Tajikistan.

Pemenang perlawanan ini akan mara ke final manakala yang tewas akan bersaing untuk penentuan tempat ketiga dan keempat, dengan kedua-dua aksi itu pada Ahad ini.

(Foto FAM FB)

Artikel Berkaitan

Pan Gon puji semangat juang anak buah

09:18 26-09-2022

Harimau Malaya kejutkan Gajah Perang

09:17 23-09-2022