Harimau Malaya kejutkan Gajah Perang

Jumaat 23 September 2022 09:17

Malaysia mengejutkan Thailand di laman sendiri selepas mara ke final Piala Raja Thailand 2022 hasil kemenangan 5-3 menerusi sepakan penentuan selepas terikat 1-1 di Stadium Chiang Mai, semalam.

Kemenangan itu membolehkan skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon bertemu Tajikistan pada pentas final selepas lawannya terlebih dahulu menewaskan Trinidad dan Tobago 2-1 pada aksi sebelah petang.

Kegagalan Supachok Sarachat menyempurnakan penalti memaksa skuad Gajah Perang terpaksa menerima kekecewaan melihat negara lain menjulang Piala Raja Thailand 2022.

Sang Harimau Malaya menyenyapkan penyokong Thailand pada minit ke-32 selepas La Vere Corbin Ong menyempurnakan hantaran Safawi Rasid untuk meletakkan Malaysia di depan 1-0.

Aksi kemas Ahmad Syihan memastikan pintu gol Malaysia terus dikunci apabila cemerlang menafikan percubaan Bordin Phala pada minit ke-38.

Bersambung babak kedua, Thailand tampil lebih garang namun benteng pertahanan negara tenang mengawal asakan Thailand yang berusaha keras bagi mendapatkan gol penyamaan.

Malaysia berpeluang menambah gol kedua menerusi tandukan Darren Lok, namun ditepis Kampon Phatomakkakul pada minit ke-60 sebelum Syihan menyelamatkan sekurang-kurangnya tiga percubaan yang seharusnya menghadiahkan gol buat Thailand.

Malaysia terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Nor Azam Azih dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua di hujung permainan.

Pansa Hemviboon mengikat kedudukan menerusi sentuhan terakhir permainan sekali gus mengheret perlawanan ke sepakan penalti penentuan.

(Foto FAM FB)

Artikel Berkaitan

Malaysia diikat pasukan belasahan Guam

10:04 06-10-2022

Pan Gon puji semangat juang anak buah

09:18 26-09-2022