Mbappe, Giroud cemerlang bantu Perancis

Jumaat 23 September 2022 09:22

Kylian Mbappe menjaringkan gol pembukaan yang menakjubkan ketika Perancis meraih kemenangan 2-0 ke atas Austria dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA di Paris awal pagi tadi. 

Mbappe mempamerkan kelajuan dan kualiti fizikal yang luar biasa sepanjang perlawanan sebelum menamatkan saingan dengan cemerlang untuk meletakkan penyandang juara dunia itu di hadapan pada minit ke-56 di Stade de France.

Sembilan minit kemudian Olivier Giroud melebarkan jaringan tuan rumah untuk membantu Perancis mengelak penyingkiran daripada peringkat teratas Liga Negara-Negara, saingan yang mereka menangi tahun lepas.

Pasukan kendalian Didier Deschamps masih perlu memenangi perlawanan terakhir Kumpulan A1 mereka di tempat lawan di Denmark esok untuk mengelak penyingkiran, manakala kelayakan ke pusingan akhir empat pasukan Jun depan sudah pun tertutup.

Mbappe menyambut hantaran Giroud di sebelah kiri sebelum menerjah masuk melepasi pertahanan lawan, mengatasi Marcel Sabitzer dan merembat bola melepasi penjaga gol Patrick Pentz.

Giroud kemudian meraikan kepulangannya bersama skuad kebangsaan dengan menanduk masuk hantaran lintang Antoine Griezmann untuk menjadikan kedudukan 2-0 dengan gol antarabangsanya yang ke-49 -- Dia kini hanya ketinggalan dua daripada rekod Perancis, Thierry Henry (51).

(Foto UEFA EURO 2024 FB)

Artikel Berkaitan

Deschamps pertahankan Mbappe

10:04 27-09-2022

Perancis berhadapan bahaya

09:27 26-09-2022