Lambert ledak hatrik, KL belasah Sarawak United

Khamis 29 September 2022 09:16


Kuala Lumpur City memperoleh kemenangan bergaya apabila membelasah Sarawak United 5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium KLFA di Cheras, semalam.

Hadir ke perlawanan di laman sendiri susulan kekalahan 1-0 kepada Penang dalam aksi terdahulu, skuad kendalian Bojan Hodak mencari ramuan terbaik serta suntikan moral menjelang pertemuan dengan kelab Uzbekistan, Sogdiana Jazakh pada aksi Final Antara Zon Piala AFC, pada 5 Oktober depan.

Dan seperti yang dijangka, perlawanan berjaya memihak tuan rumah apabila membuka jaringan seawal minit ke-28, gerakan The City Boys daripada sebelah sayap kiri bijak disempurnakan oleh kapten pasukan Paulo Josue.

Pasukan tuan rumah menggandakan jaringan seminit kemudian apabila Ryan Lambert melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli.

Lambert sekali lagi menemui jaringan, mendapatkan bola daripada luar kotak penalti sebelum melepaskan rembatan untuk gol ketiga KL.

Lambert melengkapkan hatrik pada minit ke-52, selepas mengawal hantaran Josue bijak dan meledak jaringanmerobek gawang Sarawak United buat kali keempat.

Pemain gantian, Jordan Mintah turut mencetak nama sebagai penjaring KL City apabila mudah menampan masuk hantaran daripada D. Kenny Palraj lima minit sebelum tamat permainan.

Kemenangan ini menyaksikan KL City mengumpul 29 mata selepas 20 perlawanan dan menghuni tangga kelima.

(Foto KL City FB)

Artikel Berkaitan

KL City melangkah ke perlawanan akhir Piala AFC

10:31 06-10-2022

JDT bangkit tundukkan Kedah

10:20 05-10-2022