The Reds senyapkan 'bunyi bising'

Rabu 5 Oktober 2022 14:03

Kapten Liverpool, Jordan Henderson berkata, The Reds perlu 'menghentikan bunyi bising' selepas meredakan krisis awal musim dengan kemenangan selesa 2-0 ke atas Rangers di Anfield, awal pagi tadi.

Anak buah Jurgen Klopp hanya memenangi tiga daripada sembilan perlawanan pertama Liga Perdana dan Liga Juara-Juara dan kemenangan ke atas Rangers cukup melegakan.

Sepakan percuma menakjubkan Trent Alexander-Arnold selepas hanya tujuh minit perlawanan meletakkan Liverpool di depan namun penjaga gol lawan berusia 40 tahun, Allan McGregor bertindak cemerlang mengurangkan jumlah jaringan pada babak pertama.

Penalti Mohamed Salah pada awal babak kedua meletakkan Liverpool di kedudukan lebih selesa sekali gus menyaksikan Rangers masih kempunan untuk meraih mata pertama mereka dalam Kumpulan A selepas tiga perlawanan.

Liverpool mendahului tiga mata berbanding Ajax yang tewas 1-6 di tempat sendiri kepada pendahulu kumpulan, Napoli.

"Ia tidak mudah. Anda cuba untuk mengelak daripada mendengar di media sosial terutamanya apabila melalui tempoh sukar baik sebagai individu atau sebuah pasukan.

"Anda perlu hentikan bunyi bising dan fokus kepada apa yang anda lakukan setiap hari serta fokus apa yang kami mampu capai sebagai satu pasukan.

"Ia kadangkala boleh menjejaskan pemain tetapi anda perlu mencuba dan mencari cara untuk membakar semangat ketika di atas padang," kata Henderson.

(Foto Liverpool FB)