Xavi berang, tuntut penjelasan pengadil

Rabu 5 Oktober 2022 09:37

Jurulatih Barcelona, ​​Xavi Hernandez berang dengan kualiti pengadilan yang padanya jelas tidak adil selepas pasukan bimbingannya tewas 0-1 kepada Inter Milan pada aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Barca menduduki tempat ketiga Kumpulan C, enam mata di belakang pendahulu, Bayern Munich selepas mengalami kekalahan kali kedua yang disebabkan dua keputusan pengadil tidak memihak kepada mereka.

Gol penyamaan Barca pada separuh masa kedua dibatalkan selepas pengadil, Slavko Vincic mendapati bola terkena tangan Ansu Fati sebelum Pedri cuba menyempurnakannya.

Barca kemudian dinafikan penalti di masa kecederaan selepas pegawai VAR memutuskan bola tidak terkena tangan Denzel Dumfries walaupun dilihat ada sentuhan bola dengan cara yang hampir sama dengan Fati.

"Jika anda bertanya kepada saya, saya memang marah... perkataan paling tepat adalah kemarahan kerana ia tidak masuk akal.

"Saya fikir ia adalah satu ketidakadilan dan saya tidak boleh menyembunyikannya," kata Xavi.

Xavi menegaskan, pengadil perlu menjelaskan keputusan mereka kepada wartawan selepas perlawanan seperti yang perlu dilakukan pengurus selepas mengalami kekalahan.

"Saya rasa pengadil perlu memberi penjelasan. Dia sepatutnya datang ke sini dan menjelaskannya tetapi dia sudah pulang.

"Adalah penting untuk mereka bercakap bagi menjelaskan keputusan mereka seperti yang kami lakukan. Saya fikir ia adalah perkara asas," katanya.

Gol tunggal Hakan Calhanoglu pada masa kecederaan babak pertama sudah cukup memastikan kemenangan Milan.

(Foto FC Barcelona FB)

 

Artikel Berkaitan

Barca di ambang penyingkiran

10:31 13-10-2022

The Reds senyapkan 'bunyi bising'

14:03 05-10-2022