JDT bangkit tundukkan Kedah

Rabu 5 Oktober 2022 10:20

Kedah Darul Aman (KDA) terpaksa akur dengan kehebatan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang beraksi dengan 10 pemain apabila tunduk 1-3 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, semalam.

Skuad Kenari bermula positif apabila mendahului seawal minit ke-12 selepas penyerang utama Ronald Ngah berjaya meledak jaringan.

JDT bangkit meningkatkan serangan dalam memburu gol penyamaan, dan akhirnya hantaran Afiq Fazail ke kawasan penalti tuan rumah disambut pantas oleh Bergson Da Silva yang seterusnya berjaya menewaskan Shahril Sa'ari pada minit ke-36.

Perlawanan bagaimanapun tegang pada hujung babak pertama apabila pemain JDT membantah tindakan pengadil, Hamdan Awang yang melayangkan kad merah kepada Bergson selepas menumbuk pertahanan Kedah, Rodney Celvin.

Babak kedua perlawanan menyaksikan rentak JDT tidak terjejas, walaupun beraksi dengan 10 pemain, mereka berjaya menambah jaringan menerusi sepakan penalti Leandro Velazquez pada minit ke-59.

Pengadil perlawanan Hamdan memberikan sepakan penalti selepas Syafiq Ahmad dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pemain pertahanan Kedah, Azmeer Aris.

Harapan Kedah untuk bangkit bagaimanapun bertambah sukar apabila pemain tengah Afiq Fazail mudah merembat bola dalam kawasan penalti untuk gol ketiga JDT pada minit ke-78 dan memuktamadkan kemenangan.


(Foto JST FB)