Malaysia diikat pasukan belasahan Guam

Khamis 6 Oktober 2022 10:04

Tugas pasukan bawah 17 tahun Malaysia layak ke Piala Asia B-17 menjadi sukar setelah diikat pasukan belasahan Guam 1-1 pada perlawanan kelayakan Kumpulan B di Bogor, Indonesia.

Guam, yang sebelum ini diaibkan Indonesia 14-0 dan dibaham Emirah Arab Bersatu (UAE) 9-0, menunjukkan peningkatan prestasi untuk mengekang pasukan B-17 Malaysia daripada mejaringkan gol.

Anak buah Osmera Omaro, yang sebelum ini menang mudah 4-0 ke atas lawan lebih kuat Palestin, tumpul di bahagian hadapan, serta juga membuka peluang untuk Guam membuat beberapa asakan berbahaya.

Pemain gentian, Qahir Dzakirin meletakkan Malaysia di hadapan dengan gol pembukaan pada minit ke-73.

Namun, kegembiraan pasukan negara tidak kekal apabila Guam menyamakan kedudukan menerusi Riku Ngeschekle Meyar enam minit sebelum perlawanan tamat. Ia merupakan gol pertama Guam pada pusingan kelayakan selepas beraksi hampir 270 minit.

Dengan Indonesia menang tipis 3-2 ke atas UAE semalam, Malaysia hadapi tugas sukar untuk melangkah ke kejohanan Piala Asia B-17 tahun depan.

Indonesia mendahului Kumpulan B dengan enam mata daripada dua perlawanan, mengatasi UAE yang juga mempunyai 6 mata, tapi sudah bermain tiga kali.

Malaysia di tempat ketiga dengan empat mata daripada dua perlawanan, dan perlukan kemenangan ke atas kedua-dua UAE dan Indonesia untuk merampas tempat teratas.

Hanya juara kumpulan dan enam daripada 10 naib johan terbaik akan layak ke Kejohanan Piala Asia B-17.

(Foto: FA Malaysia)