KL City melangkah ke perlawanan akhir Piala AFC

Khamis 6 Oktober 2022 10:31

KL City berpeluang mengikuti jejak Johor Darul Ta’zim untuk menjuarai Piala AFC selepas layak ke perlawanan akhir malam tadi.

Pasukan bimbingan Bojan Hodak itu muncul johan Zon Timur selepas tundukkan lawan dari Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh 5-3 menerusi sepakan penalti selepas permainan berakhir tanpa sebarang jaringan.

Penjaga gol KL City Kevin Mendoza, menjadi wira pasukan setelah berjaya mengekang serangan bertubi-tubi pasukan Sogdiana, yang beraksi di depan ribuan penyokong mereka di Jizzakh.

Pemain kelahiran Filipina itu juga berjaya menyelamatkan cubaan penalti kedua daripada pemain pertahanan Sogdiana, Shakhboz Jurabekov, yang membuka ruang untuk juara bertahan Piala Malaysia itu untuk menundukkan lawan.  

KL City kini akan berdepan kelab Oman, Al Seeb di perlawanan akhir yang akan berlangsung pada 22 Oktober.

Sekiranya anak buah Hodak menang di final, mereka akan menjadi kelab kedua dari Malaysia untuk menangi Piala AFC selepas JDT pada tahun 2015.

(Foto: KL City)