Potter boleh tarik nafas lega

Khamis 6 Oktober 2022 10:50

Pengurus Chelsea, Graham Potter mampu menarik nafas lega selepas Chelsea peroleh kemenangan pertama di Liga Juara-juara Eropah musim ini dengan membenam AC Milan 3-0 di Stamford Bridge.

Setelah mengumpul satu mata daripada dua perlawanan pertama, kegagalan untuk menumpaskan juara Serie A itu boleh merencatkan peluang Chelsea layak ke pusingan kalah mati.

Walaupun bermain di bawah tekanan tinggi, the Blues berjaya pamer persembahan memberangsangkan di depan penyokong sendiri, dan menang menerusi jaringan Wesley Fofana, Pierre Emerick Aubameyang dan Reece James.

Ia merupakan perlawanan ketiga Chelsea di bawah bimbingan Potter, sejak ambil alih daripada Thomas Tuchel.

Semasa perlawanan pembukaannya, Chelsea cuma mampu seri 1-1 dengan Dinamo Zalgreb dan pada minggu lepas, kelab London itu gagal pamer aksi terbaik walaupun berjaya tumpaskan Crystal Palace 2-1.    

Namun, percaturan Potter berkesan awal pagi tadi bila mampu menguasai permainan dengan pasukan handalan seperti Milan.

Kemenangan ini membolehkan Chelsea melonjak ke tangga kedua Kumpulan E dengan empat mata, dan mendahului Milan dengan perbezaan gol.

Kedua-dua pasukan akan bertemu kembali di San Siro minggu depan pada perlawanan timbal balik.