Arteta kecewa walaupun menang selesa

Jumaat 7 Oktober 2022 10:31

Mikel Arteta tidak puas hati dengan persembahan barisan keduanya walaupun Arsenal menang selesa 3-0 ke atas Bodo/Glimt dalam saingan Liga Europa awal pagi tadi.

Gol Eddie Nketiah, Rob Holding dan Fabio Vieira di Stadium Emirates cukup untuk membolehkan Gunners melonjak ke tangga teratas Kumpulan A.

Arteta merehatkan ramai bintang utamanya, sebelum tugas getir Liga Perdana berdepan Liverpool Ahad ini.

Walaupun menurunkan lapan pemain yang tidak beraksi semasa menundukkan Tottenham 3-1 Sabtu lalu, Arsenal berjaya mengatasi lawan dari Norway 2-0 pada 45 minit pertama menerusi jaringan Nketiah dan Holding.

Walaupun beraksi baik, Bodo/Glimt sukar untuk mencabar penjaga gol Arsenal, Matt Turner. Vieira melengkapkan kemenangan pendahulu Liga Perdana itu selepas menerima hantaran cantik pemain gentian Gabriel Jesus enam minit sebelum wisel penamat.

“Masih ada banyak ruang untuk peningkatan,” ujar Arteta selepas perlawanan.

“Ramai pemain yang terburu-buru untuk menunjuk kebolehan mereka. Mereka perlu lebih berhati-hati mengurus permainan dan tidak melepaskan penguasaan bola dengan mudah.”