Ronaldo pemain pertama cecah 700 gol

Isnin 10 Oktober 2022 09:44

Cristiano Ronaldo menjadi pemain pertama di dunia yang menjaringkan 700 gol di peringkat kelab.

Bintang Portugal itu mencecah angka 700 selepas meledakkan gol kemenangan Manchester United semasa menang ke atas Everton 2-1 di Goodison Park malam tadi.

Gol nombor 700 dalam kerjaya Ronaldo muncul tepat 20 tahun dan 2 hari selepas menjaringkan gol pertamanya semasa menyarung jersi Sporting Lisbon.

Di samping menjadi pemain dengan jaringan terbanyak di peringkat kelab, pemain berusia 37 tahun itu juga memegang rekod penjaring gol terbanyak di peringkat antarabangsa dan juga Liga Juara-juara Eropah.  

Ronaldo mendapat pujian kedua-dua pengurus pasukan yang bertarung di Goodison Park – Erik Ten Hag dan Frank Lampard.

“Ia satu pencapaian menakjubkan,” kata pengurus United, Ten Hag.

“Tidak mudah untuk seorang pemain jaringkan 700 di peringkat tertinggi kelab Eropah. Saya gembira untuknya dan saya juga lega Cristiano dapat tamatkan kebuntuan golnya di Liga Perdana Inggeris musim ini.”

Lampard, yang kerap kali bertembung dengan Ronaldo di padang sepanjang kariernya bersama Chelsea dan England, juga menyanjung impak Ronaldo dan Lionel Messi pada sepanjang dua dekad yang lalu.

“Apa yang Ronaldo lakukan boleh digelar tiada tandingan,” ujar Lampard.

“Kita bernasib baik kerana mampu melihat kehebatan Ronaldo dan Messi setiap kali mereka turun padang. Kita tidak patut menilai siapa di antara mereka lebih hebat, tetapi menghargai mutu bolasepak dan pencapaian mereka di atas padang.”