AC Milan intai peluang balas dendam Chelsea

Selasa 11 Oktober 2022 09:38

AC Milan tidak sabar untuk membalas dendam terhadap Chelsea selepas dimalukan kelab Inggeris itu 0-3 di Stamford Bridge minggu lepas.

Juara Serie A itu tidak perlu menunggu lama untuk dapatkan peluang menebus kekalahan kerana kedua pasukan akan bertemu kembali dalam aksi timbal balik Liga Juara-juara Eropah di San Siro malam ini.

Pemain pertahanan Milan Fikayo Tomori, yang menyertai kelab Itali itu dari Chelsea tahun lepas, mengaku teman sepasukannya marah dengan aksi hambar yang dipamerkan semasa kalah di London.

Milan bangkit kembali daripada kekalahan tersebut untuk mengenepikan Juventus 2-0 dalam aksi Serie A pada hujung minggu. 

“Semua pemain Milan berasa marah dengan persembahan kami semasa menentang Chelsea. Kualiti pertandingan Liga Juara-juara Eropah amat tinggi, dan kami dihukum teruk kerana tidak mempamerkan kemampuan sebenar,” kata Tomori.

‘Tetapi Milan berjaya bangkit untuk mengalahkan Juventus dalam liga, dan ia persiapan terbaik sebelum bertemu Chelsea kembali di depan penyokong sendiri.”

Milan menerima berita baik sebelum pertemuan kedua dengan Chelsea apabila dua tonggak penting – Theo Hernandez dan Junior Messias, diberi lampu hijau untuk beraksi setelah pulih daripada kecederaan.

Chelsea dan Milan berkongsi tempat kedua dalam Kumpulan E dengan empat mata, satu mata di belakang pendahulu RB Salzburg.

Pasukan tercorot Dinamo Zagreb, yang mempunyai tiga mata, juga berpeluang memintas kelab lain.

Artikel Berkaitan

Kad merah ‘buka jalan’ untuk Chelsea

10:39 12-10-2022

Potter boleh tarik nafas lega

10:50 06-10-2022