Tak menang, tapi Man City melangkah ke pusingan kalah mati

Rabu 12 Oktober 2022 10:16

Manchester City berjaya melangkah ke pusingan seterusnya Liga Juara-juara Eropah walaupun semuanya serba tidak menjadi untuk mereka semasa seri 0-0 dengan FC Copenhagen.

Pep Guardiola tidak menurunkan penyerang sensasi Erling Haaland, yang direhatkan sebelum pertemuan menentang Liverpool di Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini.

Jaringan awal Rodri dari jarak jauh dibatalkan selepas VAR mengesan Riyad Mahrez menampan bola dengan tangan sebelum bola dirembat masuk.

Mahrez kemudian gagal meletakkan juara England itu di depan selepas sepakan penaltinya diselamatkan penjaga gol Copenhagen, Kamil Grabara.

Usaha Manchester City menjadi lebih rumit apabila Sergio Gomez dilayangkan kad merah padam minit ke 30 kerana mengasari pemain lawan.

Walaupun seri, City sah layak ke pusingan seterusnya setelah Sevilla hanya mampu seri 1-1 dengan Borussia Dortmund di tempat sendiri.

Dengan berbaki dua perlawanan, pasukan Inggeris itu sudah mempunyai jurang lapan mata dengan Sevilla, yang menduduki tangga ketiga kumpulan G.