Kad merah ‘buka jalan’ untuk Chelsea

Rabu 12 Oktober 2022 10:39

Pengurus AC Milan Stefano Pioli berang dengan kad merah yang dilayangkan kepada pemain pertahananya Fikayo Tomori, yang ddilabelnya sebagai “membuka jalan untuk lawan menang”.

Tomori mengasari rakan pasukan Englandnya Mason Mount pada minit ke 17. Bekas pemain Chelsea itu seakan tidak percaya bila pengadil mengeluarkan kad merah untuk kekasaran remeh.

Pengadil juga turut memberi pasukan lawan sepakan penalti untuk kekasaran tersebut, dengan Jorginho berjaya meletakkan Chelsea di depan 1-0.

Pierre Emerick Aubameyang meledakkan gol kedua untuk juara Eropah musim 2020-21 itu menang 2-0.

“Kad merah itu mengubah segala-galanya untuk kami,” ujar Pioli selepas permainan.

“Saya tidak mahu komen lanjut mengenai tindakan pengadil buang padang pemain saya. Semua orang dapat lihat insiden tersebut. Saya sudahpun suarakan pendapat saya terus kepada pengadil.”

Kejayaan di Stadium San Siro melengkapkan kemenangan berganda the Blues ke atas juara Serie A. Chelsea raih kemenangan 3-0 di Stamford Bridge minggu lepas.

Pasukan bimbingan Graham Potter juga berjaya merampas kedudukan teratas Kumpulan E selepas dua lagi pesaing RB Salzburg and Dinamo Zagreb hanya seri 1-1.

Walaupun mendahului kumpulan dengan tujuh mata daripada empat perlawanan, kedudukan Chelsea masih tidak selesa kerana diekori rapat Salzburg (6 mata) serta Milan dan Zagreb (kedua-duanya empat mata).

Artikel Berkaitan

AC Milan intai peluang balas dendam Chelsea

09:38 11-10-2022

Potter boleh tarik nafas lega

10:50 06-10-2022