Salah cipta sejarah dengan hatrik terpantas

Khamis 13 Oktober 2022 10:03

Mohamed Salah mencipta rekod baru dalam Liga Juara-juara Eropah selepas memerlukan hanya enam minit 12 saat untuk jaringkan hatrik semasa menentang Rangers di Scotland.

Tiga jaringan penyerang Mesir itu pada separuh masa kedua membantu the Reds menang bergaya 7-1 di tempat lawan.

Salah, yang dikritik hebat kerana persembahan hambarnya semasa kekalahan Liverpool kepada Arsenal Ahad lalu, digugurkan daripada kesebelasan utama oleh pengurus Jurgen Klopp.

Namun, pemenang Kasut Emas Liga Perdana Inggeris musim lalu membuktikan dia masih berbisa dengan jaringan pada minit ke-75, 80 dan 81. Salah hanya dimasukkan ke padang dari bangku simpanan pada minit ke-67.

Sebelum itu, Liverpool seperti biasa dikejutkan oleh gol pada babak permulaan perlawanan. Scott Arfield berjaya merembat bola melepasi jangkauan Alison Becker untuk meletakkan Rangers di depan selepas 17 minit.

Ia merupakan gol pertama jaringan pasukan bimbingan Giovanni von Bronckhorst selepas empat perlawanan Kumpulan A.

Namun, Liverpool cuma perlukan tujuh minit untuk menyamakan kedudukan menerusi tandukan cantik Roberto Firmino. Penyerang Brazil itu meletakkan pasukan pelawat di depan pada awal separuh kedua sebelum Darwin Nunez menjadikannya 3-1 pada minit ke-66.

Selepas hatrik Salah, pemain muda Harvey Elliott melengkapkan kemenangan besar Liverpool pada minit ke-87.

Dengan kemenangan ketiga berturut, Liverpool hanya perlukan satu mata lagi dari dua perlawanan terakhir untuk mengiringi pendahulu Kumpulan A, Napoli ke pusingan 16 terakhir.

Napoli mengalahkan Ajax Amsterdam 4-2 di Naples untuk kekalkan rekod 100% serta menjamin tempat di pusingan kalah mati.