Barca di ambang penyingkiran

Khamis 13 Oktober 2022 10:31

Barcelona berada di kedudukan berbahaya dalam saingan Liga Juara-juara Eropah selepas mengikat Inter Milan 3-3 di Nou Camp awal pagi tadi.

Keputusan tersebut bermaksud Barca gagal menang dalam semua tiga perlawanan Kumpulan C menentang Inter Milan (dua kali) dan Bayern Munich.

Gergasi Sepanyol itu akan tersingkir daripada pertandingan walaupun menang dua perlawanan berbaki, sekiranya Inter berjaya tumpaskan pasukan belasahan Viktoria Plzen.

Pendahulu kumpulan, Bayern, sudahpun sahkan satu daripada dua tiket ke pusingan 16 terakhir selepas mengekalkan rekod 100% dengan menumbangkan Plzen 4-2 pagi tadi.

Selepas kalah kepada Inter di San Siro minggu lepas, Barca hadapi misi harus menang dengan lawan yang sama pagi tadi, dan bermula baik apabila Ousmane Dembele memberi kelebihan 1-0 selepas separuh masa pertama.

Namun, Inter kejutkan tuan rumah dengan jaringan Nicolo Barella dan Lautaro Martinez. Robert Lewandowski menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-82 tetapi Inter kembali di depan menerusi Robin Gosens pada minit ke-89.

Lewandowski berjaya selamatkan Barca daripada kekalahan dengan jaringan peribadinya yang kedua pada masa kecederaan, tetapi ia mungkin tidak mencukupi untuk selamatkan pasukannya daripada tersingkir.

Berbaki dua perlawanan, Bayern mendahului kumpulan dengan 12 mata, diikuti Inter (7), Barca (4) dan Plzen (0).

Barcelona juga tersingkir pada saingan peringkat kumpulan musim lepas.

Artikel Berkaitan

Xavi berang, tuntut penjelasan pengadil

09:37 05-10-2022

Lewandowski sokong Ukraine

09:13 21-09-2022