Junior Eldstal tidak 'cakap kosong' untuk sarung jersi Harimau Malaya

Khamis 8 April 2021 14:16

Dua minggu lalu, Junior Eldstal terpilih sebagai 'Man of The Match' ketika aksi kelabnya Chonburi FC bertemu Sukhothai FC.

Pemain kacukan Malaysia-Sweden itu kini menjadi salah seorang watak penting bagi kelab Liga Thailand itu dan Junior semakin membuktikan dia masih berbisa biarpun sebelum imi mengambil keputusan bersara dari karier bola sepak tiga tahun lalu.

Pemain berusia 30 tahun ini kembali ke London selepas membuat keputusan meninggalkan aksi bola sepak, namun jiwanya masih merindui untuk aksi bola sepak.

Sepanjang tempoh persaraannya itu, Junior tetap bermain dengan kelab bukan liga di England, Metropolitant Police sebelum kembali ke Asia Tenggara menyarung jersi kelab Chonburi Januari lalu.

Junior tidak mengambil masa lama untuk kembalikan rentaknya apabila menjadi pemain dalam barisan utama dalam 12 perlawanan sejak bersama skuad kendalian Sasom Pobprasert ini.

Bermain di posisi pertahanan tengah, Junior semakin menjadi tumpuan di kelab liga Thai itu selepas jaringan pada minit ke-59 ketika bertemu Buriram FC berjaya membawa Chonburi mara ke saingan akhir Piala FA.

Prestasi yang semakin baik itu sekaligus menjadi bualan peminat-pemainat bola sepak tempatan, sekaligus manjadi cadangan agar ketua jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe memanggilnya kembali menyarung jersi Harimau Malaya.

Junior sebelum ini pernah memberitahu bahawa dia ingin kembali bermain untuk negaranya Malaysia dan impiannya itu bukan sekadar cakap kosong.

Dia telah mempamerkan prestasi terbaik dan tidak ada  alasan lain lagi mengapa dia tidak layak bersama skuad kebangsaan.

Malah sebelum ini juga, Cheng Hoe turut mengakui bahawa dia memantau perkembangan pemain-pemain Malaysia yang beraksi di luar negara.

Apa yang menarik, kehadiran bekas pemain Sarawak dan Johor Darul Ta'zim (JDT) ini bakal memberi saingan kepada pemain-pemain yang sedia ada dalam skuad kebangsaan yang sekaligus memberi gambaran positif untuk memantap pasukan menjelang perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 yang bakal berlangsung Jun ini.

(Foto: Chonburi FC)