Sri Pahang seperti ''menepuk air di dulang, terkena muka sendiri'

Khamis 15 April 2021 14:09

Drama Sri Pahang sejak awal musim berterusan apabila dikatakan 'menepuk air di dulang, terkena muka sendiri' dengan mengumumkan pelantikan Thomas Dooley sebagai penasihat kelab.

Dooley yang direhatkan selepas dua aksi perlawanan awal musim akhirnya membuka mulut selepas lebih sebulan berdiam diri.

Menurut Dooley perancangan pengurusan Sri Pahang masih sama, tidak membenarkannya mendekati pasukan selepas tamat dua perlawanan awal.

Dooley dan pembantunya, Christopher Gamel direhatkan. 

Minggu lalu Sri Pahang mengumumkan bekas pemain Piala Dunia skuad Amerika Syarikat itu dilantik sebagai penasihat manakala Gamel sebagai jurulatih Piala Presiden.

"Kami masih tidak dapat bersama pasukan, kami ‘direhatkan’. Kami bermesyuarat dan mereka memberitahu saya bahawa persembahan dua perlawanan lalu tidak begitu bagus,” ujar kepada Astro Arena.

Jelas Dooley,59, dia mempersoalkan apa sebenarnya yang berlaku, dan sebaliknya terjadi.

"Tapi kemudian kami dimaklumkan agar menjauhi pasukan. Saya menerima mesej dan panggilan daripada pemain yang bertanyakan apakah yang terjadi tapi saya tidak boleh mendedahkannya.”

Menurutnya kejadian penyingkirannya itu berlaku begitu pantas lalu meninggalkan anak buahnya dalam kebingungan selepas aksi kalah kepada Selangor dan Perak.

Ironinya, pendedahan Dooley ini menampakkan cerita yang tidak 'synchronize' dengan kenyataan pengurusan Sri Pahang yang mengatakan jurulatih kelahiran Jerman ini mendapat tugas baharu.

Dengan situasi yang 'caca merba' ini, Dooley seakan sudah bosan dan mengakui akan  meninggalkan pasukan dalam masa terdekat kerana sudah diintai oleh beberapa pasukan kebangsaan selain sebuah pasukan di Thailand yang mahukan khidmatnya.

“Saya ada mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak dan saya mungkin akan meninggalkan pasukan minggu depan.

“Ia sesuatu yang lazim dalam memulakan perbincangan, ia bukan sesuatu yang muktamad.”

Lebih parah, Sri Pahang seakan terus terkena 'badi' kekalahan selepas Dollah Salleh mengambil tugas ini dengan berada di kedudukan kedua tercotot Liga Super.

Apa sebenarnya yang cuba dibuat pengurusan Sri Pahang ini? 

(Foto: New Straits Times)

Artikel Berkaitan

Terengganu bangkit atasi Sri Pahang

09:37 22-08-2022

Sang Gajah mahu lunas dendam

09:42 17-08-2022