“Saya bukan siapa-siapa”, Saddil minta penyokong Garuda bersabar!

Khamis 29 April 2021 16:37

Penyerang import Sabah FC, Saddil Ramdani meminta media Indonesia jangan perbesarkan isu tidak dipanggil ke skuad kebangsaan negaranya.

Pemain muda berusia 22 tahun ini antara penyerang muda Indonesia yang sentiasa menjadi bualan penyokong-penyokong pasukan Garuda itu.

Bagaimana pun tahun ini nama Saddil tidak tersenarai dalam skuad kebangsaan Indonesia bagi latihan pusat persiapan aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 pusingan kedua Jun ini.

"Saya ini bukan siapa-siapa dan media tidak perlu meminta memanggil saya. Percayalah, pemilihan pemain oleh jurulatih (Shin Tae-yong) sudah menjadi keputusan untuk setiap pemain.

"Jangan terus anggap 'inilah, itulah', tidak baik dan tidak profesional sebagai masyarakat Indonesia.

"Jika saya tidak dipanggil, ya, saya harus sabar harus bekerja keras lagi. Bukan bermakna saya terus boleh masuk pasukan itu kerana ramai lagi pemain-pemain yang lebih berbakat berada dalam pasukan."

Media Indonesia melaporkan penyokong-penyokong bola sepak negara itu membanjiri ruang komen media sosial pembantu jurulatih Nova Arianto mengenai Saddil yang tidak dipanggil.

Nova menjawab dan mengakui Saddil bermain luar biasa di Malaysia, namun Tae-yong mempunyai penilaian tersendiri terhadap pemain.

Tae-yong, 51, merupakan bekas pemain kebangsaan Korea Selatan dan telah membimbing pasukan negaranya sejak 2015 bermula dengan skuad bawah 23 Tahun dan B-20 Tahun.

Pada 2017-2019 Tae-yong membimbing pasukan utama Korea Selatan yang menyaksikan mereka juga layak  beraksi di pentas Piala Dunia 2018.

Tahun lalu Tae-yong menerima tawaran Indonesia menggantikan Simon McMenemy sebagai pengurus dengan kontrak empat tahun.

Artikel Berkaitan

Penang raih kemenangan pertama Liga Super

09:25 23-06-2022

Penang hilang khidmat Casagrande

10:03 22-06-2022